suria

Keputusan Petisyen P/Raya Parlimen Kudat 29 Ogos, Tawau 10 September

KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya menetapkan 29 Ogos untuk memutuskan bantahan awal berhubung petisyen bagi kerusi Parlimen Kudat dan 10 Sept sama ada membatalkan petisyen bagi Parlimen Tawau.

Hakim Datuk Yew Jen Kee berkata beliau perlu meneliti lebih lanjut hujah balas petisyen bagi Parlimen Kudat yang difail calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rahimah Majid.

Rahimah menamakan pemenang kerusi itu Datuk Abd Rahim Bakri, yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, Pegawai Pilihan Raya Sebastian Lim dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Dalam petisyen itu, antara lain, Rahimah membangkitkan isu rasuah dan amalan rasuah, penggunaan daftar pemilih yang salah, salah laku dan sekatan tidak sah terhadap ejen mengundi.

Pada pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lepas, Abd Rahim yang meraih 21,883 undi menang dengan majoriti 12,736 undi menewaskan Rahimah (9,507 undi), calon Star Jutirim Galibai Galabi (3,083 undi) dan Mojurip Diyun (963 undi) dari Parti Maju Sabah.

Bagi petisyen kerusi Parlimen Tawau, Yew menetapkan tarikh itu bagi membolehkan hujah tambahan serta jawapannya disediakan pada 19 Ogos dan 23 Ogos.

Dalam petisyen itu, calon PKR Datuk Kong Hong Ming menamakan SPR, Pegawai Pilihan Raya negeri Sabah, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Tawau dan pemenang kerusi berkenaan Datuk Mary Yap Kain Ching sebagai responden.

Kong mendakwa kemenangan Yap, yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, tidak selaras prinsip yang mengkehendaki responden pertama dan kedua serta pegawainya mengendali pendaftaran pemilihan secara teratur selain mengekalkan satu daftar yang hanya mengandungi warga Malaysia yang layak mengundi.

Beliau mendakwa daftar pemilih bagi kawasan Tawau dicemari dengan penipuan dan perjalanan pilihan raya berkenaan tidak sah di sisi undang-undang.

Yap memenangi kerusi Parlimen Tawau dalam pertandingan empat penjuru dengan meraih 21,331 undi bagi menewaskan Kong yang memperoleh 16,352 undi, calon SAPP Datuk Dr Chua Soon Bui (633 undi) dan calon Bebas Ahmad Awang (553 undi). -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain