suria

Ciri Kapitalis Pakatan Sama Dengan BN, Tetapi Lebih Baik Dari Segi Janji - Dr Jeyakumar

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) bekerja di bawah rangka kerja kapitalis yang sama seperti Barisan Nasional (BN) tetapi memberikan janji yang lebih baik, kata Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar.

Beliau berkata kedua-duanya mengukur kejayaan negara dengan mengambil kira faktor-faktor seperti pertumbuhan ekonomi, jumlah pelabur asing yang dibawa masuk ke negara ini dan jumlah perniagaan kapitalis.

"Dalam aspek itu, Pakatan bukan sosialis. Dalam hal inilah kita (PSM) datang, untuk memberi pandangan yang berbeza," kata beliau pada majlis mengutip dana PSM, malam Sabtu.

Beliau menambah ekonomi kapitalis perlu berkembang atau ia akan mengalami kemelesetan. Apabila ekonomi berkembang, lebih banyak sumber alam semula jadi digunakan.

"Pada satu ketika kapitalisme merupakan kuasa pemimpin revolusi yang membawa banyak perubahan positif tetapi kini ia telah sampai ke satu tahap di mana ia telah menjadi toksik," katanya.

Bagaimanapun, Dr Jeyakumar mengakui penting untuk menjadi realistik dalam politik. "PSM adalah sebuah parti kecil. Kita perlu bekerja dengan orang lain untuk menghantar mesej kami secara menyeluruh. Jika kita perlu kehilangan beberapa kerusi untuk berbuat demikian, tidak mengapa," kata beliau.

Dr Jayakumar berkata dengan Pakatan, beliau melihat tadbir urus yang lebih baik, kurangnya keinginan untuk rasuah dan perkauman, lebih banyak kebebasan maklumat dan perubahan yang lain.

Artikel Berikut

Artikel Lain