suria

Trafik Perlahan Di Beberapa Lebuh Raya Petang Ini

KUALA LUMPUR: Trafik dilapor bergerak perlahan di beberapa lebuh raya petang ini berikutan peningkatan jumlah kenderaan.

Jurucakap Plusline, ketika dihubungi Bernama, berkata setakat 5 petang, trafik perlahan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) iaitu dari Subang ke Damansara selepas tol Damansara ke Lebuhraya Sprint.

"Trafik juga perlahan selepas tol Sungai Besi ke Lebuhraya Hubungan Timur-Barat (Metramac) dan kenderaan dilihat bertambah dan meningkat dari Nilai ke Seremban.

"Di utara, trafik sibuk dari tol Juru ke Bukit Tambun, dan perlahan dari Juru ke Seberang Jaya," katanya sambil menambah peningkatan jumlah kenderaan mungkin disebabkan cuti persekolahan berakhir Ahad, dan orang ramai yang keluar untuk ke rumah terbuka.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata trafik perlahan di beberapa lebuh raya berikutan berlaku kemalangan.

"Kemalangan berlaku dari Sungai Petani Utara ke Gurun di Kilometer 87.4, Kuala Kangsar ke Ipoh di Kilometer 265.7, arah ke Universiti Putra Malaysia di Kilometer 308.8 dan Simpang Renggam ke Macap di Kilometer 64.4. Ini mengakibatkan trafik bergerak perlahan," katanya.

Jurucakap itu berkata trafik juga perlahan sebelum tol Skudai, Johor dan kenderaan dilihat mula bertambah di pertengahan jambatan Pulau Pinang namun trafik masih terkawal.

"Bagaimanapun, dari Kuala Lumpur ke Karak, trafik masih lancar ketika ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain