suria

TPPA: Kerajaan Pandang Serius Soal Ketelusan- Mustapa

KOTA BARU: Kerajaan memandang serius dan akan meningkatkan ketelusan dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) supaya rakyat mendapat maklumat yang jelas mengenai rundingan tersebut.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata oleh kerana kurangnya ketelusan, terdapat pihak yang membuat andaian berdasarkan spekulasi dan pihak terbabit tidak boleh dipersalahkan kerana maklumat yang mereka peroleh tidak lengkap.

"Dalam kenyataan saya sebelum ini, saya sudah katakan jemaah menteri berpendapat mereka memandang serius isu ketelusan ini dan kita akan tingkatkan ketelusan tersebut," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kelantan di sini, Sabtu.

Mesyuarat khas Kabinet Khamis lepas membuat pendirian tegas bahawa Malaysia hanya akan menandatangani TPPA jika terma perjanjian itu menguntungkan dan memberi manfaat kepada negara.

Malaysia tidak akan terikat dengan sebarang tempoh masa yang ditetapkan berkaitan dengan TPPA dan Kabinet mengambil pendirian ini kerana sejumlah besar isu, termasuk perusahaan milik negeri (SOE) atau syarikat berkaitan kerajaan, buruh dan Hak Harta Intelektual (IPR), masih belum diselesaikan.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata beliau akan mengetuai rombongan Malaysia ke Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi Asean (AEM) ke-45 di Brunei Darussalam mulai Ahad hingga 21 Ogos ini, yang akan turut membincangkan perkara berkaitan TPPA termasuk isu ketelusan rundingan itu.

Beliau berkata kementeriannya akan terus mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperjelaskan maklumat mengenai TPPA. - BERNAMA

Artikel Lain