suria

Tiga Beradik Hilang Ditemui Di Rawang

Safarela tersenyum apabila memberitahu media bahawa anaknya selamat.
Safarela tersenyum apabila memberitahu media bahawa anaknya selamat.
Safarela tersenyum apabila memberitahu media bahawa anaknya selamat.

IPOH: Ketiga-tiga anak Safarela Azwa Ishak yang ditemui di sebuah rumah di Rawang, yang terletak lebih 150km dari rumah mereka di sini, dipercayai dibawa oleh 'pak cik dan mak cik' mereka.

Safarela, 36, menarik nafas lega selepas bertemu semula dengan ketiga-tiga anaknya yang hilang sejak Selasa lalu.

Dia berkata, ketiga-tiga anaknya, Syarafuddin Syazwan Rizauddin, 11, Syarir Syafi Rizauddin, 8, dan Syauratul Syafiah Rizauddin, 6, berada dalam keadaan sihat.

"Mereka kelihatan letih apabila saya mengambil mereka di balai polis daerah Gombak pada tengah malam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Taman Meru 2B di sini, Khamis.

Dia berkata beberapa individu yang baik hati telah menghantarnya ke Gombak untuk mengambil ketiga-tiga anaknya itu.

Katanya, dia tidak mempunyai petunjuk bagaimana tiga anaknya itu berada di Gombak dan akan mendapatkan maklumat lanjut dari polis beberapa hari lagi.

Syarafuddin Syazwan, Syarir Syafi dan Syauratul Syafiah dilaporkan meninggalkan rumah mereka antara pukul 2 petang dan 6 petang Selasa lalu.

Selepas usaha mencari mereka menemui jalan buntu, Safarela membuat laporan polis di balai polis Jelapang pada malam Selasa.

Pada waktu itu, Safarela berkata adik perempuan dan adik iparnya berada di rumah ketika dia pergi bekerja.

Apabila pulang dari tempat kerja, dia berkata anak-anaknya tiada di rumah.

Pada Khamis, Safarela enggan memberi komen ketika ditanya sama ada insiden itu ada kaitan dengan hal keluarga.

"Saya tidak rasa sama ada perlu menjawab atau mengesahkan apa yang telah orang lain katakan mengenai keluarga saya, dan saya berharap orang ramai dan media akan menghormati privasi kami," katanya yang tidak membenarkan media bertemu tiga anaknya itu.

Dalam sidang media berasingan, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam berkata ketiga-tiga kanak-kanak itu ditemui di sebuah rumah di Rawang, kepunyaan 'pak cik dan mak cik mereka' kira-kira pukul 8.30 malam Rabu.

"Bertindak berdasarkan siasatan polis dan hasil risikan, kami pergi ke rumah tersebut dan menemui mereka di sana," katanya.

Paramasivam berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 361 Kanun Keseksaan kerana menculik daripada penjagaan yang sah dan jika didapati bersalah individu terbabit boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun.

Katanya, tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain