suria

Pengganas Sulu Hanya Undang Maut Jika Ulangi Serangan Terhadap Sabah - Pengerusi MNLF

JOHOR BAHARU: Cubaan pengganas Sulu untuk melancarkan serangan kedua terhadap Sabah hanya akan mengundang maut dan berakhir dengan kegagalan, kata Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Muslimin Sema.

Beliau berkata cubaan kumpulan yang serba kekurangan daripada segi persenjataan itu untuk mengulangi pencerobohan terhadap Sabah hanya merupakan 'misi membunuh diri' kerana mereka akan berdepan dengan pasukan tentera Malaysia yang tersusun rapi dan lengkap bersenjata.

"Sebarang rancangan untuk melancarkan serangan kedua terhadap Sabah akan menerima padah, sama seperti yang telah dialami pasukan Harakiri Jepun,"katanya dalam wawancara dengan Bernama melalui telefon dari Manila.

Muslimin, yang dipilih badan pembuat keputusan tertinggi pergerakan itu, Jawatankuasa Pusat MNLF, untuk menyandang jawatan tersebut pada 2008, berkata kumpulan bersenjata Sulu tidak akan dapat mengalahkan tentera Malaysia yang serba lengkap.

"Saya menasihati mereka supaya berfikir banyak kali (tentang sebarang cubaan untuk melancarkan serangan kedua). Janganlah melakukan keganasan di tempat yang aman. Ada forum lain untuk menyuarakan isu mereka," katanya.

Muslimin berkata demikian apabila diminta mengulas khabar angin yang tersebar di Sabah kononnya pengganas Sulu, iaitu pengikut Jamalul Kiram 111 yang tinggal di Manila, merancang untuk melancarkan serangan kedua terhadap Sabah.

Menurut khabar angin itu, kumpulan berkenaan merancang melakukan serangan kedua ketika sambutan Aidilfitri atau pada petang menjelang Hari Merdeka untuk menebus kegagalan misi mereka di Lahad Datu dan Semporna pada Februari lepas.

Ketua Menteri Datuk Musa Aman baru-baru ini berkata walaupun perkara itu hanya merupakan khabar angin dan perang saraf pihak tertentu, namun kerajaan tetap memandang berat mengenainya dan telah mengambil langkah untuk meningkatkan kawalan keselamatan di Sabah.

Berikutan insiden pencerobohan pengganas Sulu itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah meningkatkan benteng pertahanannya di pantai timur Sabah.

Dalam pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Kampung Simunul, Semporna, lebih 70 pengganas Sulu terbunuh, manakala 10 anggota tentera dan polis Malaysia terkorban.

Dalam operasi susulan, berpuluh pengganas Sulu, termasuk pemerintah tertingginya Datuk Amir Bahar Hushin Kiram ditahan pihak berkuasa Malaysia.

Bagi meningkatkan kawalan keselamatan dan memperkukuh barisan pertahanan daripada sebarang ancaman dan pencerobohan di sempadan Sabah, kerajaan menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) pada 1 April lepas.

Muslimin berkata untuk mendapatkan gambaran lebih jelas tentang khabar angin itu, beliau bertanya mengenainya kepada bekas gabenor Wilayah Sulu, yang juga bekas ketua turus pejuang MILF Yusof Jikiri.

"Yusof memberitahu saya, tiada apa yang berlaku di Sulu atau Tawi-Tawi berhubung sebarang cubaan untuk melancarkan serangan kedua terhadap Sabah. Penduduk Sulu menjalani kehidupan secara aman dan berusaha untuk mewujudkan susana seperti biasa," katanya.

Beliau berkata sebagai satu daripada kumpulan bersenjata paling besar di selatan Filipina, MNLF ingin memupuk keamanan dan kestabilan di Sulu dan di seluruh wilayah Mindanao.

Katanya kumpulan bersenjata yang menggelarkan diri mereka sebagai Tentera Kesultanan Sulu (RSF) dan memihak kepada Jamalul Kiram 111, sebenarnya hanya sebuah kumpulan kecil dan tidak mendapat sokongan besar daripada penduduk Sulu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain