suria

Pemuda Umno P.Pinang Buat Laporan Polis Terhadap Chong

BUKIT MERTAJAM: Pemuda Umno Pulau Pinang meminta Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan terhadap Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen kerana mendakwa kes jenayah tembak yang semakin berleluasa kebelakangan ini adalah satu sandiwara Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Pemuda Umno negeri Mohd Fauzi Sharif berkata tohmahan Chong itu adalah satu bentuk hasutan yang serius dan keterlaluan.

"Ia dilihat bertujuan mempengaruhi rakyat bagi membenci BN, dan kenyataan Chong yang juga Anggota Parlimen Kuching itu jelas menampakkan tahap pemikiran cetek bagi memperjuangkan politik kebencian yang diamalkan pembangkang," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah pada Khamis.

Chong dipetik sebuah akhbar berbahasa Inggeris di Sarawak sebagai berkata kes pembunuhan melibatkan senjata api di negara ini dibiarkan berleluasa bagi membolehkan kerajaan BN menggubal undang-undang baharu menggantikan Ordinan Darurat.

Mohd Fauzi berkata Pemuda Umno negeri mengutuk kenyataan itu dan berharap ia membuka mata orang ramai berhubung kualiti pemikiran wakil rakyat pembangkang.

"Atas rasa tanggungjawab, cintakan keamanan negara dan kesejahteraan rakyat, kami rasa terpanggil untuk membuat laporan polis bagi memboleh pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Anggota Parlimen itu kerana kenyataannya merupakan satu hasutan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain