suria

Peguam Dan Empat Yang Lain Dapat Kebenaran Untuk Merayu

PUTRAJAYA: Peguam Gurbachan Singh, firma guamannya dan tiga yang lain hari ini mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan di sini untuk merayu terhadap keputusan mahkamah yang memerintahkan mereka memulangkan sebidang tanah kepada 217 pekerja ladang kelapa sawit.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mempengerusikan panel lima anggota sebulat suara membenarkan permohonan mereka bagi kebenaran untuk merayu.

Turut bersidang dalam panel itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, dua hakim Mahkamah Persekutuan Datin Paduka Zaleha Zahari dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha dan hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali.

Panel itu membenarkan pemohon - Gurbachan Singh, firma guamannya Messrs Bachan & Kartar, Simpang Empat Plantations Sdn Bhd yang dilantik sebagai penerima dan pengurus, Regal Establishment (yang Gurbachan mempunyai kepentingan) dan MBF Finance Berhad, untuk mengemukakan lima soalan perundangan untuk ditentukan mahkamah tertinggi itu.

Soalan perundangan berkaitan isu itu, antaranya adalah mengenai hubungan peguam bela-anak guam, pemulangan perbelanjaan dan penarikan balik tanggungjawab korporat sebuah syarikat.

Pada Rabu, Mahkamah Persekutuan mendengar permohonan para pemohon untuk kebenaran merayu buat kali keduanya selepas mahkamah itu membatalkan keputusannya yang terdahulu yang tidak memberikan kebenaran kepada para pemohon untuk merayu.

Mahkamah menetapkan hari ini untuk keputusan.

Mahkamah Persekutuan pada 18 Jan tahun lepas membenarkan permohonan semakan para pemohon untuk membatalkan keputusannya yang terdahulu selepas memutuskan terdapat kegagalan coram (kuorum) apabila bekas Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff meninggalkan panel itu untuk tempoh singkat semasa perbicaraan sedang berlangsung.

Pada 21 April, 2010, panel tiga anggota Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Alauddin menerusi majoriti 2-1 enggan memberikan kebenaran kepada para pemohon untuk merayu terhadap perintah Mahkamah Rayuan supaya mereka memulangkan 1,472 hektar tanah di Hutan Melintang, Perak bernilai RM80 juta kepada pekerja ladang berkenaan.

Responden iaitu P. Vellasamy dan 216 pembeli lain tanah itu, memfailkan saman terhadap para pemohon namun mereka kalah dalam pertarungan di mahkamah pada 2006 apabila Mahkamah Tinggi Ipoh menolak saman mereka. Pada 2009, Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu dan memerintahkan kelima-lima mereka memulangkan tanah itu kepada pekerja terbabit.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, pekerja berkenaan berkata mereka melantik Gurbachan Singh dan firma guamannya sebagai peguam untuk menasihatkan mereka bagi mengambil tindakan undang-undang sewajarnya selepas mereka mendapati tanah akan dijual secara tender.

Mereka mendakwa Gurbachan Singh telah menggunakan Regal Establishment untuk membeli tanah itu dan menukar hak milik tanah itu kepada syarikat itu.

Pekerja berkenaan berkata mereka melepaskan Gurbachan Singh dan firmanya sebagai peguam mereka setelah menyedari peguam itu telah secara tipu mewakili mereka secara salah.

Mereka memohon mahkamah mengisytiharkan perjanjian jual beli dimeterai antara mereka dan Gurbachan Singh sebagai batal dan tidak sah.

Dalam pernyataan pembelaannya, Gurbachan Singh dan empat yang lain menafikan dakwaan itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain