suria

Ibu Tunggal Cedera Dalam Kes Samun

ROMPIN: Seorang ibu tunggal cedera di tangan akibat terkena pisau pemotong daging selepas bergelut dengan seorang lelaki yang menceroboh masuk ke rumahnya di Kampung Serikin dekat Rompin awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Johari Yahaya berkata dalam kejadian 5.15 pagi itu mangsa, 34, mahu ke tandas menemani anak lelakinya yang berusia enam tahun.

Beliau berkata semasa berada di ruang tamu mangsa terkejut apabila terserempak dengan suspek yang bersenjatakan pisau pemotong daging itu.

"Suspek mengacukan pisau ke arahnya dan mangsa bertindak melawan sebelum bergelut dengan suspek," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Suspek kemudiannya bertindak merentap gelang emasnya, dan mengarahkan ibu wanita itu, berusia 50-an, yang keluar dari bilik tidur, menanggalkan barang kemas yang dipakai.

Beliau berkata selepas mengambil barang-barang kemas wanita itu dan ibunya, suspek melarikan diri melalui pintu dapur dengan sebuah kereta yang menunggu di luar rumah itu.

"Wanita itu mendapatkan rawatan di klinik berhampiran dan menerima tiga jahitan di tangan sebelum membuat laporan polis," katanya.

Johari berkata dalam kejadian itu mangsa kehilangan lima gelang tangan emas dan dua utas rantai dengan jumlah kerugian kira-kira RM10,000. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain