suria

Belum Ada Maklumat Pelancong Tidak Berkunjung Ke Malaysia Atas Faktor Keselamatan

GEORGE TOWN: Tourisme Malaysia belum menerima sebarang maklumat mengenai pelancong yang tidak berkunjung ke negara ini disebabkan faktor keselamatan, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Beliau berkata Tourism Malaysia bersama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bimbang dengan senario peningkatan insiden jenayah kekerasan terutamanya kes tembak, namun katanya setakat ini, tiada maklumat diterima daripada pelancong berhubung perkara tersebut.

Justeru, beliau menggesa semua pihak agar mengambil langkah keselamatan secara serius dengan melihat sama ada undang-undang sedia ada mencukupi untuk menangani jenayah serius berkenaan selain mengukuhkan penguatkuasaan dan menangani punca jenayah tersebut.

"Jika ia menjadi terlalu ganas, saya secara peribadi merasakan kita perlu melihat kepada hukuman yang lebih berat. Kita tidak mahu negara ini dikenali kepada pelancong sebagai, tidak selamat.

"Apabila kita (Tourism Malaysia) ke luar negara untuk berdialog, kita tidak mendengar perkara ini (kes tembak) ditonjolkan. Bagaimanapun, terdapat keperluan untuk menanganinya dengan cepat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan George Town Art Trial 2013, di sini Jumaat.

Dr Ng berkata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz juga menyatakan kebimbangan terhadap kes tembak dan terdapat perbincangan berterusan dalam menangani perkara berkenaan.

Beliau berkata semua rakyat Malaysia perlu bekerjasama untuk memerangi jenayah seperti kes ragut dan kecurian yang turut melibatkan pelancong sebagai mangsanya, sambil menambah rakyat perlu digalakkan untuk sentiasa berwaspada bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Mengenai jumlah ketibaan pelancong, Dr Ng berkata Tourism Malaysia menyasar untuk menarik seramai 28 juta pelancong ke negara ini tahun depan, sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Tahun ini seramai 26.8 juta disasarkan.

Mengenai George Town Art Trial 2013, beliau berkata ia merupakan sebahagian daripada Festival Pelancongan Seni Kontemporari 1Malaysia yang akan diadakan dari Julai hingga September, sebagai acara utama pelancongan seni.

Tema tahun ini berkisar mengenai kisah nostalgia bandar warisan merangkumi bukan sahaja warna dan bandar George Town, malah kepelbagaian warisan dan keunikan seni bina yang terdapat di tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Sainstifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain