suria

Bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir Nafi Terlibat Dalam 'Projek IC' di Sabah

Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin
Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin
Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin

KOTA KINABALU: Bekas setiausaha politik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin menafikan dakwaan bahawa beliau pernah terlibat dalam kegiatan pengeluaran kad pengenalan (IC) atau lebih dikenali sebagai 'Projek IC' kepada pendatang asing di Sabah.

Katanya beliau hanya mengetahui kewujudan 'Projek IC' melalui anaknya yang menonton berita di televisyen mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin di Sabah di mana nama projek itu dibangkitkan.

"Anak saya beritahu saya yang nama saya dikaitkan dalam projek ini. Tetapi saya tidak menghiraukannya kerana saya tidak terlibat," katanya ketika memberi keterangan kepada suruhanjaya itu di sini, Jumaat.

Katanya selama beliau berkhidmat sebagai setiausaha politik Dr Mahathir, beliau tidak pernah mendengar nama 'Projek IC' dan mustahil baginya untuk turut terlibat dalam projek itu.

Ketika ditanya pegawai pengendali Datuk Azmi Ariffin jika beliau tahu mengenai pemberian IC meragukan kepada pendatang asing, Abdul Aziz berkata beliau hanya mengetahui kegiatan itu wujud menerusi berita mengenai penahanan beberapa pegawai Jabatan Pendaftaran Negara.

Inkuiri di hadapan panel lima anggota suruhanjaya itu yang dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong bersambung 9 September. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain