suria

Wanita Dipukul Suami Dalam Lif Diberi Perlindungan

MANGSA DERA SUAMI...Isteri mangsa dera oleh suaminya bersama ketiga-tiga anaknya membaca perintah perlindungan interim terhadapnya yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di kediaman ibunya di Bukit Meretajam pada Khamis. -Foto BERNAMA
MANGSA DERA SUAMI...Isteri mangsa dera oleh suaminya bersama ketiga-tiga anaknya membaca perintah perlindungan interim terhadapnya yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di kediaman ibunya di Bukit Meretajam pada Khamis. -Foto BERNAMA
MANGSA DERA SUAMI...Isteri mangsa dera oleh suaminya bersama ketiga-tiga anaknya membaca perintah perlindungan interim terhadapnya yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di kediaman ibunya di Bukit Meretajam pada Khamis. -Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Wanita yang dipukul secara ganas oleh suaminya di dalam lif pada Isnin menerima perintah perlindungan interim daripada suaminya.

Perintah mahkamah berkuatkuasa pada Khamis sehingga kes itu diselesaikan oleh polis, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim.

Rohani berkata, mangsa bersama dua anaknya, masing-masing berumur empat dan lima tahun akan ditempatkan di sebuah "tempat yang selamat".

"Kita akan menyediakannya (mangsa) dengan kaunseling juga untuk kedua-dua anaknya, yang trauma selepas menyaksikan insiden seperti itu," katanya kepada pemberita di kementerian di sini, Khamis.

Dalam satu insiden di George Town, Pulau Pinang, seorang penjawat awam berumur 36 tahun dilihat menyerang mangsa di hadapan kedua-dua anak mereka yang masih kecil di sebuah lif di hospital swasta.

Wanita berkenaan, yang merupakan pekerja kilang berumur 36 tahun kemudiannya menerima rawatan pesakit luar di hospital yang sama atas kecederaan di kepala, pergelangan tangan dan badan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Maslan Kesah, kes itu disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Pasangan itu berada di hospital bagi melawat anak lelaki mereka yang dimasukkan ke hospital kerana demam panas.

Wanita itu dilaporkan menfailkan penceraian pada bulan lepas.

Sementara itu di BUKIT MERTAJAM, Pengarah JKM Pulau Pinang Zulkifli Ismail berkata sepanjang tempoh perlindungan sementara, pihaknya akan menyelia dan mengawasi mangsa bagi memastikan wanita berkenaan tidak diancam suaminya.

"Kita juga menawarkan khidmat kaunseling kepada mangsa dan anak-anaknya yang melihat kejadian itu bagi mengurangkan tekanan serta trauma yang dialami mereka," katanya. Beliau berkata insiden itu dianggap kes yang paling teruk dan serius di Pulau Pinang setakat ini di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. "Sebelum ini, mana-mana kes yang membabitkan keganasan rumah tangga, JKM hanya membuat dakwaan mengikut Seksyen 4A. "Bagaimanapun, melihat kepada keganasan yang berlaku itu sangat serius, kita mengambil langkah mendakwa suami wanita berkenaan di bawah Seksyen 4B, dan memberi perlindungan sementara kepada isteri yang didera," katanya ketika melawat mangsa di kediaman ibu wanita itu.

Zulkifli juga berkata JKM memandang serius semua kes keganasan rumah tangga yang membabitkan keganasan fizikal, emosi dan seksual.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Ketua Wanita Barisan Nasional Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta pihak berkuasa bertindak tegas dan segera terhadap pelaku dua insiden keganasan terhadap wanita.

Insiden pertama membabitkan seorang wanita dibelasah suaminya dalam lif manakala yang kedua memaparkan aksi seorang lelaki memukul teman wanitanya dengan tukul besi. "Sebagai wanita dan isteri, saya amat kesal dengan insiden yang membabitkan kedua-dua mangsa yang dipukul dengan kekasaran melampau sehingga menimbulkan kemarahan orang awam di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan.

Shahrizat berkata Wanita BN memandang serius kes itu dan menuntut pembelaan, perlindungan dan kehormatan daripada pihak berkuasa berdasarkan peruntukan perundangan sedia ada. Beliau juga menyeru wanita yang menjadi mangsa tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.

-BERNAMA

Artikel Lain