suria

Semua Pihak Perlu Jaga Sensitiviti Agama Masing-Masing: Chua

KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu menjaga kesensitifan agama dan memelihara kesuciannya dalam negara yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum yang menganuti pelbagai agama, kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau berkata parti itu turut menyeru semua pihak supaya menghormati agama Islam sebagai agama rasmi dan pada waktu yang sama semua rakyat mempunyai kebebasan beragama.

"Masjid dan surau merupakan tempat beribadah yang suci dan mulia bagi orang Muslim.

"Pandangan tokoh-tokoh agama Islam juga perlu dirujuk dan dihormati sebelum semua pihak tergesa-gesa memberi ulasan mengenai isu ini," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pengerusi di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu surau di sebuah resort di Kota Tinggi, Johor yang digunakan sekumpulan penganut agama Budha untuk upacara keagamaan. Turut hadir Timbalan Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai, Naib Pengerusi Gan Ping Seu, Setiausaha Agung Datuk Seri Kong Cho Ha serta Ketua Biro Profesional Pemuda Datuk Chua Tee Yong.

Sementara itu, Dr Chua berkata empat jawatankuasa ditubuhkan untuk mengkaji empat isu utama yang sering dihadapi rakyat serta diberi tugas untuk mengadakan perbincangan dengan kementerian yang berkaitan.

"Empat bidang utama itu ialah isu pengajian tinggi melibatkan pelajar cemerlang tidak dapat memasuki IPTA (Institut Pengajian Tinggi Awam), jenayah, kesan kerjasama dalam Perjanjian Kerjasama Trans Pasifik (TPPA), serta peluang pekerjaan daripada bidang profesional hinggalah ke isu pembantu rumah asing," katanya.

Empat jawatankuasa itu dipengerusikan Ketua Pemuda Datuk Wee Ka Siong(pengajian tinggi); Datuk Chua Tee Yong (TPPA); Gan Ping Seu (jenayah), serta veteran MCA Tan Sri Dr Fong Chan Onn (peluang pekerjaan). - BERNAMA

Artikel Lain