suria

Pairin Yakin Kerjasama Kerajaan Pusat Dan Negeri Mampu Kurangkan Kebanjiran Pati

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yakin kerjasama serta antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dapat mengurangkan masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri itu.

Menurutnya, kerjasama itu penting kerana jabatan Polis dan Imigresen adalah di bawah kuasa kerajaan persekutuan yang boleh membantu mencegah kedatangan pendatang asing tanpa izin ke negeri itu terutama dari Filipina dan Indonesia.

Selain itu, bekas ketua menteri Sabah itu berkata kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa politik bagi menggerakkan penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang masalah itu.

"Sepanjang menjadi Ketua Menteri Sabah saya sudah berusaha sedaya upaya bagi mengatasi masalah kedatangan pendatang asing terbabit tetapi tidak berjaya tanpa kerjasama erat kerajaan Persekutuan.

"Rakyat Sabah ketika itu amat bimbang dengan isu kedatangan pendatang asing ini kerana ia menggugat kedudukan ekonomi dan keselamatan awam tempatan," katanya ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin Di Sabah di sini, Khamis.

Pairin berkata rakyat negeri itu mahu keselamatan dan ketenteraman mereka terjamin serta isu pendatang asing tanpa izin terutama dari Filipina dapat diselesaikan dengan segera.

Justeru, katanya beliau memberikan beberapa cadangan bertulis tentang isu berkenaan untuk diatasi kerajaan Persekutuan kepada perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menurutnya, atas kesedaran tentang jaminan keselamatan penduduk Sabah juga mendorong Parti Bersatu Sabah (PBS) menyertai semula Barisan Nasional (BN).

Pairin, yang juga merupakan saksi ke 199, berkata rakyat Sabah mahukan pembangunan tetapi dalam masa sama mereka mahu hidup dalam keadaan aman, selamat dan tenteram.

Sementara itu, seorang lagi saksi, Datu Akjan Datu Ali Muhammad, seorang ahli perniagaan, memberitahu prosiding bahawa pendatang asing tanpa izin yang bekerja di Sabah patut diberi dokumen sementara supaya pergerakkan mereka dapat dikawal oleh pihak berkuasa.

"Pihak penguatkuasa boleh mengambil tindakan tegas sekiranya mereka melanggar undang-undang dan peraturan di negeri ini, " katanya. -BERNAMA

Artikel Lain