suria

Keselamatan Penuntut Kedah di Mesir Sentiasa Dipantau - Mukhriz

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah sentiasa memantau keselamatan 897 orang penuntut dari negeri ini yang berada di Mesir bagi memastikan keselamatan mereka terjamin di negara yang sedang bergolak ketika ini.

Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata pemantauan ke atas penuntut-penuntut di sana dibuat dari semasa ke semasa untuk memastikan mereka berada dalam keadaan selamat.

"Kita pantau keadaan pelajar-pelajar kita di sana dari semasa ke semasa dan laporan mengenai keadaan keselamatan mereka juga sentiasa diterima," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di sini, Khamis.

Beliau berkata beberapa peraturan dan nasihat telah disampaikan kepada penuntut-penuntut di sana bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam pergolakan yang berlaku di Mesir.

"Setakat ini, pelajar-pelajar kita di sana mematuhi segala peraturan dan nasihat yang diberikan. Kami nasihatkan mereka supaya mengelakkan diri daripada melalui kawasan-kawasan yang berbahaya kerana bimbang mereka akan dicederakan.

"Selain itu, kami nasihatkan supaya mereka jangan cepat panik dan menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih bagi mengelakkan kekecohan berlaku yang boleh menyebabkan ahli keluarga mereka di sini bimbang," katanya.

Mukhriz menasihatkan penuntut di Mesir agar tidak terlibat dalam sebarang perhimpunan serta menjauhi kawasan huru-hara dan rusuhan demi menjaga keselamatan diri.

Konflik politik di Mesir kini bertambah buruk apabila semakin banyak pertempuran berlaku antara penyokong Presiden Mesir yang digulingkan Mohamed Morsi dengan anggota keselamatan, yang menyebabkan banyak kematian di kalangan rakyat negara itu. -BERNAMA

Artikel Lain