suria

Kerajaan Anjur Makmal Perumahan Khamis Depan - Abdul Rahman

PUTRAJAYA: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menganjurkan makmal perumahan Khamis depan bagi mengenal pasti dan membincangkan inisiatif segera dalam menangani isu perumahan.

Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, selain pihak berkepentingan, kementerian juga akan menjemput enam pengikut Twitter @mpkotabelud yang mengemukakan idea bernas ke makmal itu.

Pengikut Twitter perlu mengemukakan idea berkenaan sebelum atau pada 11.59 malam Khamis, katanya dalam kenyataan, di sini Khamis.

Abdul Rahman berkata, antara lain makmal akan mengenal pasti strategi terbaik dalam menangani masalah kos rumah di negara ini.

"Jalan penyelesaian untuk mengawal kos rumah tidak terhad kepada penurunan harga semata-mata, tetapi membabitkan pelbagai langkah lain seperti kadar, tempoh pinjaman bank dan strategi lain.

"Selain itu, makmal ini juga akan melihat bagaimana kedua-dua sektor awam dan swasta boleh berganding bahu dalam menyelaraskan inisiatif perumahan kebangsaan, termasuk menyeragamkan pelbagai proses dalam pembinaan rumah di negara ini," katanya.

Makmal sehari itu dengan jenama media sosialnya #HouseLab akan disertai 100 pakar daripada pelbagai agensi kerajaan, sektor perumahan dan badan bukan kerajaan. - BERNAMA

Artikel Lain