suria

Merdeka Centre Diminta Lebih Bertanggungjawab: Dr Subramaniam

KUALA LUMPUR: MIC telah meminta Merdeka Centre, yang bertindak sebagai pemerhati Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lepas, supaya lebih bertanggungjawab dan tepat dengan kajian mengenai trend mengundi.

Timbalan presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kajian yang dijalankan oleh pusat banci dan kaji selidik pendapat itu adalah cacat dan bertujuan untuk mewujudkan tanggapan yang salah kepada orang awam.

Beliau berkata Pengarah Strategik Pakatan Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli juga turut 'termakan' dengan hasil dapatan oleh pusat tersebut.

"Analisis baru-baru ini yang dijalankan oleh Merdeka Centre, yang pertama kali muncul dalam portal berita (The Malaysian Insider), adalah satu pembohongan," kata Dr Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, dalam kenyataan di sini Rabu.

Kajian Merdeka Centre itu menunjukkan dua Menteri Kabinet dari MIC itu, - Dr Subramaniam (Segamat, Johor) dan Datuk Seri G. Palanivel (Cameron Highlands, Pahang) mungkin kalah kerusi Parlimen masing-masing pada PRU-13 tanpa undi awal dan undi pos.

Palanivel, yang juga presiden MIC, merupakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Laporan itu turut menyatakan beberapa kerusi di Johor dan Wilayah Persekutuan akan juga jatuh kepada Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) memenangi 22 kerusi Parlimen di situ dengan bantuan tambahan undi awal dan undi pos.

Mengenai kerusi Parlimen Segamat, Dr Subramaniam berkata jumlah pengundi pada PRU13 di kawasan itu adalah seramai 47,009 orang dan jumlah yanag keluar mengundi adalah seramai 39,807 pengundi (84.9 peratus), salah satu jumlah paling tinggi dalam sejarah.

Katanya beliau memperoleh 20,037 undi untuk menewaskan calon PKR, Datuk Chua Jui Meng dengan majoriti 1,217 undi.

"Pecahan jumlah undi yang saya perolehi ialah 99.26 peratus undi biasa dan baki 0.74 peratus adalah gabungan undi awal dan undi pos...jadi dengan majoriti 1,217 undi, buatlah perkiraan anda.

"Amat jelas BN memenangi kerusi Parlimen Segamat dengan majoriti selesa dengan pengundi biasa dan bukan kerana pengundi awal atau undi pos seperti didakwa oleh Merdeka Centre," katanya.

Sebagai pusat kaji selidik, Dr Subramaniam berharap Merdeka Centre akan lebih berhati-hati untuk tidak menerbitkan angka-angka yang tidak kukuh, hanya semata-mata untuk memperdayakan rakyat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain