suria

Kenyataan Pengerusi DAP Sarawak Tidak Bertanggungjawab: Nancy Shukri

KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri menyelar kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang mendakwa peningkatan kadar jenayah di negara ini adalah sebahagian daripada sandiwara Barisan Nasional (BN) untuk memperkenalkan undang-undang baharu pencegahan jenayah.

Beliau berkata dakwaan itu tidak bertanggungjawab dan tidak benar kerana sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, keamanan negara sentiasa diberi perhatian.

"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kami berusaha keras untuk menjamin keamanan dan kestabilan dalam negara.

"Barangkali ini strategi (DAP) untuk mengalih perhatian rakyat daripada krisis politik mereka," katanya.

Nancy berkata seharusnya semua pihak bekerjasama dalam menangani kes-kes jenayah yang berlaku daripada menuding jari menyalahkan pihak lain.

"Kita harus bekerjasama memantau jenayah serius dan pastikan keadaan bertambah buruk. Biar kita maju untuk membawa kestabilan lebih besar dan tidak membuat kenyataan tidak bertanggungjawab seperti itu," katanya.

Mengulas lanjut, Nancy berkata kenyataan Chong itu juga seharusnya membuka mata rakyat, untuk melihat bagaimana pembangkang memutar belit fakta mengenai sesuatu isu dan menuding jari menyalahkan kerajaan.

Ditanya tentang tindakan yang perlu diambil terhadap Chong, Nancy berkata beliau perlu meminta maaf kepada kerajaan kerana membuat tuduhan tidak bertanggungjawab itu.

"Saya harap polis tidak lemah semangat oleh kenyataan kurang bijak Chong itu," katanya.

Pada Selasa, akhbar The Borneo Post melaporkan, Chong juga mendakwa tindakan untuk memperkenalkan undang-undang baharu seakan Ordinan Darurat (EO) bertujuan memberi kuasa kepada kerajaan BN menahan ahli politik pembangkang yang lantang bersuara.

Menurut Chong yang juga Anggota Parlimen Kuching, undang-undang baharu itu bakal memberi kuasa penuh termasuk kepada Menteri Dalam Negeri untuk menyekat mana-mana pihak termasuk dari pembangkang demi agenda politik BN.

Pada 6 Ogos lalu, Nancy berkata sebuah makmal mengkaji langkah-langkah yang boleh diambil dalam menangani masalah jenayah serius akan diwujudkan selepas hari raya.

Menurutnya makmal tersebut akan diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala; dan dianggotai beliau, dan Senator Datuk Low Paul Seng Kuan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain