suria

Polis Terima Laporan Berhubung Penggunaan Surau Oleh Penganut Buddha

JOHOR BAHRU: Polis menerima enam laporan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan pengurusan sebuah resort di Sedili Besar, Kota Tinggi yang membenarkan surau di resort itu digunakan penganut Buddha menjalankan upacara keagamaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata pasukan khas yang diketuai Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim akan menjalankan siasatan segera selepas polis mendapat kebenaran mahkamah hari ini untuk menahan reman pemilik resort itu.

"Polis meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya dan penulis blog juga digesa supaya tidak mencetuskan keadaan lebih buruk yang boleh menimbulkan kemarahan masyarakat menerusi penulisan mereka," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, Selasa.

Mohd Mokhtar berkata, pihaknya juga sudah mengeluarkan arahan kepada Ketua Polis Daerah Kota Tinggi supaya mengadakan pertemuan dengan masyarakat setempat bagi mententeramkan keadaan.

Akhbar sebelum ini melaporkan penduduk sekitar perkampungan nelayan Sedili Besar gempar apabila bangunan yang didirikan di sebuah kawasan resort sebagai surau dicemari upacara sembahyang agama lain.

Upacara sembahyang oleh penganut Buddha itu disedari seorang pengunjung resort yang ingin menunaikan solat Asar petang Sabtu.

Sehubungan itu, polis pada Isnin menahan pemilik resort berkenaan, seorang lelaki berumur 45 tahun untuk membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar berkata pihaknya sedang menunggu laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang dijangka diperoleh esok untuk melakukan siasatan lanjut terhadap seorang lelaki menggunakan nama Alan Tang yang didakwa menghina agama Islam melalui status yang dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya.

Beliau berkata, polis setakat ini sudah menerima empat laporan daripada orang ramai berhubung isu berkenaan dan siasatan segera akan dilakukan bagi membolehkan kertas siasatan lengkap dikemukakan kepada pihak pendakwa raya.

Tang baru-baru ini dilaporkan memuat naik kad ucapan Aidilfitri di laman sosial Facebook dengan memaparkan gambar kepala babi bersama ketupat dan lemang dengan ucapan 'for malay muslim...Selamat hari buat semua, nikmati hidangan head roast pork with ketupat'.

Tang sebaliknya mendakwa terdapat individu lain yang meniru foto serta namanya di laman Facebook, sekali gus memfitnahnya menulis status yang menghina Islam. - BERNAMA

Artikel Lain