suria

Polis Selesaikan 10 Kes Samun Dengan Penahanan Dua Lelaki

JOHOR BARU: Dua lelaki yang mempunyai rekod jenayah, seorang daripadanya bekas tahanan di bawah Ordinan Darurat, ditahan kira-kira 20 minit selepas mereka menyamun sebuah rumah mewah di Senggarang, dekat Batu Pahat, Selasa lepas.

Kedua-dua lelaki yang menaiki kereta Honda Civic itu ditahan pada pukul 6.15 petang dan dengan penahanan mereka, polis percaya dapat menyelesaikan 10 kes samun di Batu Pahat dan bandar raya ini, kata Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

"Hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu, polis menemui sebilah parang, dua telefon bimbit, dua beg dipenuhi spanar, serangkai kunci, allen key dan wang tunai dalam mata wang Malaysia dan asing.

"Semakan pula mendapati kereta itu merupakan kereta yang dilapor hilang di kawasan Majidee, di sini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini Selasa.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu mempunyai rekod berkaitan samun dan penyalahgunaan dadah manakala bekas tahanan Ordinan Darurat itu dibebaskan dari Penjara Simpang Renggam, dekat Kluang, tahun lepas.

Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata polis menahan seorang lelaki rakyat Singapura kerana menawarkan rasuah dan menghalang tugas anggota polis trafik di laluan masuk Bangunan Sultan Iskandar, di sini, tiga hari lepas.

"Lelaki itu yang memandu kereta Mercedes-Benz didapati menghalang kenderaan orang lain pada kira-kira pukul 11.20 malam. Dia kemudian ditangkap kerana cuba memberikan wang RM550 kepada anggota polis berkenaan.

"Semasa menunggu untuk dibawa ke Balai Polis Sentral, dia kemudian meloloskan diri dan memecut laju kenderaannya menuju ke Skudai, di sini, sebelum berjaya ditahan oleh anggota polis peronda tidak lama kemudian," katanya.

Mohd Mokhtar berkata polis merampas wang berjumlah RM550 dan lelaki itu kini direman sehingga Rabu untuk siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain