suria

Perbicaraan Penuh Petisyen Pilihan Raya Parlimen Kota Marudu 19 Ogos

KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya di sini pada Selasa menetapkan 10 hari mulai 19 Ogos untuk mendengar petisyen terhadap keputusan kerusi Parlimen Kota Marudu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lepas.

Petisyen itu yang difailkan calon PKR Datuk Maijol Mahap, menegaskan Borang 14, yang merekodkan jumlah undi yang diperoleh setiap calon dan bilangan undi rosak, tidak diberi kepada ejen pilihan raya PKR apabila mereka memintanya daripada pegawai pengurus pilihan raya.

Dalam petisyennya, Mahap menamakan pegawai pengurus pilihan raya Lovita Koisun dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden kedua dan ketiga.

Responden pertama, bagaimanapun Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang memenangi kerusi Parlimen Kota Marudu, ditolak sebagai responden terhadap tuduhan memberi dan mengamalkan rasuah yang didakwa oleh pempetisyen.

Hakim Datuk Yew Jen Kee juga memerintahkan Mahap membayar kos RM5,000 kepada Ongkili.

Yew memutuskan pempetisyen tidak mengemukakan fakta mencukupi terhadap dakwaan itu.

Pada PRU13, Ongkili yang mewakili Barisan Nasional memenangi kerusi itu dengan majoriti 842 undi selepas memperoleh 15,168 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Mahap memperoleh 14,326 undi manakala calon lain, Majamis Timbong (Star) mendapat 2,228 undi dan Yuntau alias Kuntau Kolod (SAPP) hanya mendapat 444 undi. - BERNAMA

Artikel Lain