suria

Mayat Pemuda Lemas Di Sungai Bukit Keluang, Besut Ditemui

BESUT: Mayat Nik Mohd Azreen Nik Adnan yang lemas di Sungai Bukit Keluang dekat Kampung Raja di sini pada Ahad berjaya ditemui gerakan pasukan mencari kira-kira pukul 7.45 petang Isnin.

Komander Operasi Mencari, Penolong Penguasa Bomba Hasmadi Jusoh berkata, mayat Nik Mohd Azreen, 23, timbul dan terapung di permukaan air setelah pasukan mencari membuat beberapa pusingan bot di satu lokasi kira-kira 200 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

Beliau berkata, mayat mangsa yang masih lengkap berpakaian segera dibawa ke Hospital Daerah Besut untuk dibedah siasat.

Nik Mohd Azreen yang tinggal di Taman Subang Perdana, Shah Alam pulang bercuti raya di rumah neneknya di Kampung Pengkalan Nyireh sebelum pergi ke Sungai Bukit Keluang bersama seorang rakan kampungnya pada hari kejadian untuk melihat keindahan laut dan bukit-bukau di situ.

Difahamkan mangsa kemudiannya membuat keputusan menyeberang sungai berkenaan untuk melihat kawasan penyu bertelur tetapi tenggelam dan hilang beberapa minit selepas masuk ke dalam sungai manakala rakannya berjaya berenang ke seberang.

Mangsa dikatakan tiba di Besut dengan menaiki kereta bapa saudaranya Selasa lepas sehari sebelum ketibaan ibu bapa dan tiga adik perempuannya.

Sementara itu bapa mangsa Nik Adnan Nik Abdullah, 55, berkata keluarganya mengambil keputusan untuk mengebumikan jenazah anaknya itu di tanah perkuburan Islam Kampung Pengkalan Nyireh pada Selasa. - BERNAMA

Artikel Lain