suria

Jawatankuasa Khas Ditubuh Kaji SOP Tentera Bertugas Di Sempadan

KUALA LUMPUR: Satu jawatankuasa khas ditubuh untuk mengkaji serta meneliti Prosedur Operasi Standard (SOP) pegawai dan anggota tentera yang bertugas di sempadan negara berikutan insiden seorang anggota tentera ditembak ketika menjalankan tugas rondaan Sabtu lepas.

Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, jawatankuasa khas yang ditubuhkan itu bakal mengkaji cadangan penggunaan baju kalis peluru untuk anggota yang bertugas di kawasan operasi termasuk di kawasan berisiko bagi mengelak kejadian sama berulang.

Jawatankuasa khas yang dikendalikan Angkatan Tentera Darat itu juga akan menjalankan siasatan terperinci untuk mengetahui segala kelemahan dan kekurangan yang boleh diperbaiki daripada insiden yang hampir meragut nyawa anggota tentera itu, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Kementerian Pertahanan di sini, Isnin.

Dalam kejadian awal pagi Sabtu, L/Kpl Mohd Azamrudin Azizan ditembak ketika menjalankan tugas rondaan bersama seorang rakannya L/Kpl Anuar Doni di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam.

Mohd Azamrudin cedera di paha, siku, bahu dan lutut akibat ditembak dengan senapang patah yang menggunakan peluru penabur manakala rakannya tidak cedera.

Beliau yang menjalani pembedahan mengeluarkan kesemua peluru itu, kini dilapor stabil dan dirawat di Hospital Kangar, Perlis.

Raja Mohamed Affandi berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan Angkatan Tentera Thailand untuk mendapatkan laporan terkini serta bertukar maklumat mengenai kejadian tembakan itu yang dipercayai dilepaskan di kawasan sempadan negara jiran.

Beliau turut menafikan pembabitan kumpulan militan dari selatan Thailand dengan kejadian tembakan itu dan berkata insiden itu mungkin didalangi kumpulan penyeludup.

"Kami menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa Thailand untuk menjalankan siasatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain