suria

Gerakan Minta Kerajaan Tubuh Jawatankuasa Pelbagai Pihak Banteras Jenayah

KUALA LUMPUR: Gerakan meminta kerajaan supaya menubuhkan jawatankuasa pelbagai pihak bagi meningkatkan usaha menangani jenayah.

Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Mah Siew Keong berkata, peningkatan jenayah terutama yang membabitkan penggunaan senjata api menjadi keprihatinan rakyat dan memerlukan formula baharu bagi menanganinya.

'Kita memerlukan jawatankuasa yang mengandungi pelbagai pihak bagi memerangi jenayah sebagai satu pasukan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menyarankan jawatankuasa tersebut diwakili kerajaan negeri dan persekutuan, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, profesional dan polis.

Mah menyarankan jawatankuasa itu bertanggungjawab kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen.

"Konsensus, koordinasi dan kerjasama dari semua pihak adalah penting bagi memastikan mereka bersatu padu menangani jenayah," tambahnya. - BERNAMA

Artikel Lain