suria

Pembantu Rumah Indonesia Didera Hampir Setiap Hari - Polis

KUALA LUMPUR: Pembantu rumah Indonesia di Subang Bestari yang didera majikannya dipukul dengan tangan, kaki dan objek seperti penyapu hampir setiap hari kerana dikatakan lembap melakukan kerja rumah.

Ketua Daerah Polis Sungai Buloh Supt Junaidi Bujang berkata siasatan awal menunjukkan mangsa yang mempunyai permit kerja itu juga tidak dijaga makan minumnya dengan baik berdasarkan kepada keadaan fizikalnya.

Mangsa yang dikenali sebagai Maria Roberta Sain, 30, ditemui dalam keadaan kurus dengan muka lebam, berparut dan luka di seluruh badan.

"Sekarang ini kita cuba untuk mendapatkan perintah mahkamah supaya mangsa dera itu ditempatkan sementara di rumah perlindungan wanita kerana dia tidak berani balik ke rumah majikan," katanya yang dihubungi Bernama di sini, Sabtu.

Majikannya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Sungai Buloh petang Jumaat dan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi Sabtu untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Maria berjaya melarikan diri dari rumah majikannya semalam dan membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain