suria

Exco Nafi Stesen Minyak Ditutup Kerana Kehabisan Bekalan

RAUB: Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan Pahang Datuk Shahiruddin Ab Moin menafikan dakwaan bahawa penutupan beberapa stesen minyak di beberapa daerah di negeri itu pada Khamis disebabkan kehabisan bekalan.

Sebaliknya kata beliau penutupan itu bersifat sementara kerana pemilik memberi kebenaran kepada pekerja yang rata-rata beragama Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri.

"Penutupan selama dua jam itu bukan bererti kehabisan minyak, malah bekalan minyak petrol dan diesel bagi pengusaha stesen minyak di negeri ini mencukupi," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, Jumaat.

Beliau berkata sebanyak 229 buah stesen minyak di Pahang mendapat bekalan lebih daripada mencukupi membabitkan agihan lebih 1.8 juta liter petrol dan diesel sejak seminggu lalu.

"Pembekal turut membekalkan minyak setiap hari kepada pengusaha terbabit termasuk pada hari minggu dan hari cuti bagi mengelakkan bekalan minyak terputus, oleh itu tidak ada sebab bekalan minyak kehabisan," katanya.

Shahiruddin juga menganggap dakwaan stesen minyak ditutup kerana kehabisan bekalan dilakukan pihak tertentu yang mahu memburuk-burukkan kerajaan atau mahu mencetuskan pembelian panik.

Sementara itu katanya, berdasarkan pemantauan pegawai penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, bekalan barangan keperluan di Pahang adalah mencukupi setakat ini.

Pemantauan juga mendapati tiada lapoar terus menjalankan pemantauan pada sepanjang musim perayaan ini bagi mempastikan bekalan barangan keperluan harian mencukupi dan tiada peniaga menaikkan harga barang.

Menurutnya setakat ini juga tiada laporan mengenai kenaikan harga barang keperluan. - BERNAMA

Artikel Lain