suria

Majlis Rumah Terbuka Serlah Semangat Muhibah - MB N. Sembilan

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kehadiran masyarakat berbilang kaum pada majlis rumah terbuka Aidilfitri kerajaan negeri hari ini jelas menunjukkan semangat muhibah masyarakat majmuk di negara ini.

Beliau berkata perpaduan yang telah lama terbina ini perlu dipertingkatkan lagi bagi mengelakkan rasa syak wasangka antara kaum. "Apabila kita faham tentang budaya (antara kaum)...ini akan dapat mengukuhkan lagi rasa persahabatan kerana persahabatan ini akan timbul apabila kita faham, mengerti dan mengenali kawan kita.

"Hari ini Hari Raya Aidilfitri dan sama-sama diraikan oleh masyarakat Cina, India, Sikh dan lain-lain...begitu juga dengan perayaan lain seperti Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas dan lain-lain akan diraikan bersama," katanya kepada pemberita.

Lebih 5,000 orang masyarakat berbilang kaum menghadiri majlis rumah terbuka di perkarangan Dewan Undangan Negeri di sini termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Datuk Dr Awaludin Said, anggota Exco dan ketua jabatan.

-BERNAMA

Artikel Lain