suria

Polis Perlu Dapat Laporan Pakar Mengenai Kebakaran di Meru Hill

IPOH: Polis setakat ini tidak boleh membuat kesimpulan berhubung punca insiden kebakaran yang mengorbankan tiga orang termasuk dua anak lelaki pengasas produk kecantikan Vida Beauty di Meru Hills, Bandar Meru Raya, Sabtu lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, ini kerana polis perlu mendapatkan maklumat dan laporan pengesahan daripada pakar Jabatan Kimia serta bomba bagi menyelesaikan siasatan insiden tersebut.

"Adalah tidak adil untuk polis terus membuat kesimpulan yang menjurus dakwaan orang awam sahaja ...buat masa ini kita tidak boleh pastikan atau berkata sama ada ia sah terbakar disebabkan aliran elektrik, litar pintas atau perkara lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum melancarkan sistem 'Delivery Omnipresent Target' atau DOT di Stadium Indera Mulia di sini, Selasa.

"Bomba lebih pakar dalam hal kejadian seperti ini, mereka boleh mengesahkan apakah punca kejadian kebakaran terbabit dan selepas itu barulah kita boleh buat kesimpulan.

Mohd Shukri berkata setakat ini tiada pihak atau orang awam yang tampil kepada polis untuk direkodkan keterangan berhubung kejadian kebakaran tersebut.

"Kita buat laporan dan buka siasatan di bawah laporan kebakaran yang biasa kita siasat lebih-lebih lagi apabila ada kematian," katanya.

Insiden kebakaran pada 9 malam, Sabtu lepas mengorbankan tiga orang termasuk dua anak pengasas produk kecantikan dan kesihatan Vida Beauty, Datuk Dr Hasmiza Othman.

Mereka ialah anak sulungnya Muhammad Eddie Zuhdie Mohd Amin, 11, dan adiknya Muhammad Edrie Zikrie, 10, yang merupakan anak kedua daripada empat beradik, serta seorang pekerja syarikat itu Muhammad Norsyamil Zaidi, 26.

Dua lagi pekerja yang berada dalam rumah itu ketika kejadian, Khairul Anuar Abu Bakar, 32, dan Rofie Ismail, 31, berjaya menyelamatkan diri. -BERNAMA

Artikel Lain