suria

Pengurus Restoran Didakwa Bunuh Bapa Saudara

KLANG: Seorang pengurus restoran dan seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Selasa atas tuduhan membunuh bapa saudara pengurus restoran itu, dua minggu lepas.

S.Priytharen, 26, dari Rawang dan S. Karthik, 20, dari Meru di sini, didakwa membunuh bapa saudara Priytharen, Mohd Siraj Abdullah, 57, bekas peguam, menggunakan sebatang kayu dan pisau pemotong daging di tempat rekreasi, Taman Aman Perdana, Bandar Bukit Raja di sini, kira-kira 12.30 pagi, 21 Julai lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Peguam L.Ramesh yang mewakili Priytharen mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah supaya anak guamnya dirujuk kepada pakar psikiatri memandangkan dia mengalami masalah kemurungan sejak 2005.

"Anak guam saya pernah dimasukkan ke Hospital Selayang pada 2009 kerana cubaan membunuh diri. Pohon anak guam saya dirujuk kepada pakar psikiatri," katanya.

Majistret Mariam Maran Abdullah @ Lusia Muda Maran membenarkan permohonan itu dan menetapkan 2 September ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Lain