suria

Empat Rumah Hangus Dijilat Api Di Melaka

MELAKA: Persiapan menyambut Aidilfitri bagi tiga keluarga di Kampung Gangsa di sini terjejas apabila rumah mereka dijilat api pagi Rabu.

Kejadian pukul 10.45 pagi itu membabitkan empat buah rumah dengan dua rumah sewa hangus dijilat api manakala dua lagi rosak di bahagian bumbung dan dapur.

Seorang mangsa Amir Abu Hassan, 27, berkata ketika kejadian, dia bersama isterinya Norita Md Rasul, 27, berada di rumah ibunya yang terletak bersebelahan dengan rumah sewanya itu sebelum dia melihat asap tebal.

"Saya sedang menggoreng ayam bersama ahli keluarga lain di luar bahagian dapur rumah sebelum terlihat asap tebal. Saya kemudian meninjau apa yang berlaku dan melihat api sedang marak di rumah saya," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, segala kelengkapan bagi menyambut hari raya musnah malah wang tunai kira-kira RM500 bagi membeli barangan kelengkapan menyambut kelahiran anak sulungnya November ini yang simpan di dalam almari juga hangus terbakar.

Katanya, api turut menyambar rumah ibunya, Kamsiah Ali, 54, menyebabkan kerosakan di bahagian bumbung ruang tamu.

Seorang lagi mangsa, Anuar Ahmad, 41, berkata persiapan menyambut Aidilfitri keluarganya turut musnah dalam kejadian itu.

"Segala persiapan Aidilfitri saya musnah. Rumah yang disewa sejak empat tahun lepas juga menjadi abu," katanya yang berada di rumah ibunya di Padang Keladi, Durian Tunggal ketika kejadian.

Sebuah lagi rumah berdekatan milik Razak Abdullah, 40, mengalami kerosakan di bahagian dapur.

Penguasa Bomba Kanan II Balai Bomba Penyelamat Ayer Keroh, Hairul Nizam Ridhuan berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.51 pagi dan tiba di lokasi pada 11.06 pagi dengan dua jentera dari Ayer Keroh dan Bukit Katil bersama 10 anggota termasuk seorang pegawai.

"Bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira 10 minit kemudian sebelum api dipadam sepenuhnya pada 11.38 pagi," katanya.

Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain