suria

Peniaga Ayam Maut Ketika Disamun Tiga Lelaki Di Serdang

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga ayam maut dalam kejadian samun di Jalan Serdang Raya 6/3, Taman Serdang Raya, dekat sini malam Isnin.

Dalam kejadian pada pukul 9.35 malam itu, Rohani Harun, 50, ditahan tiga lelaki bersenjatakan parang ketika memandu lori kecil miliknya untuk pulang ke rumahnya di sekitar Serdang Jaya selepas berniaga di tapak pasar malam di kawasan perindustrian Bukit Serdang.

Wanita itu memberhentikan lorinya dan tiga lelaki terbabit menariknya keluar daripada lori sebelum merampas lori itu, kata Ketua Polis Daerah Serdang ACP Abdul Razak Elias.

"Mangsa cuba menahan lori miliknya daripada dilarikan dan susulan itu, mangsa dirempuh dan diseret beberapa meter sebelum ditinggalkan tiga penyamun terbabit yang melarikan kenderaan itu," katanya.

Wanita itu cedera parah di kepala dan mati ketika dirawat di wad kecemasan Hospital Serdang.

Abdul Razak berkata ketika kejadian suami wanita itu yang juga berniaga di pasar malam membawa kereta berasingan dan pulang terdahulu daripada isterinya.

Polis kini meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak berhampiran lokasi kejadian bagi memburu tiga lelaki terbabit, katanya.

Abdul Razak berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil atau menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain