suria

Nik Mustapha Dilantik Semula Ketua Pengarah Ikim

KUALA LUMPUR: Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dilantik semula sebagai Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) berkuat kuasa 2 Ogos 2013.

Menurut kenyataan Ikim, pelantikan ini merupakan penggal ketiga bagi Nik Mustapha, 60, yang mula dilantik sebagai Ketua Pengarah Ikim pada 2 Ogos 2009.

"Pihak Ikim mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas pelantikan semula Nik Mustapha," menurut kenyataan itu di sini Selasa.

Nik Mustapha yang berkelulusan dalam bidang ekonomi dan perniagaan dari University Ohio, Amerika Syarikat sudah berkhidmat di Ikim selama 20 tahun, bermula 1993 sebagai Fellow Kanan.

Pada November 1997 beliau dilantik sebagai Penolong Ketua Pengarah dan Pengarah Pusat Ekonomi, Kajian Sosial dan Teknologi Ikim sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah institut itu pada 2002.

Nik Mustapha merupakan Ketua Pengarah Ikim keempat dan telah menghasilkan tiga monograph, menyunting 18 buku dan menerbit lebih daripada 200 artikel ilmiah dalam jurnal, buku, majalah dan akhbar, menurut kenyataan itu. - BERNAMA

Artikel Lain