suria

Lagi Kes Tembak, Penoreh Maut Sementara Pelayan Kedai Cedera

KOTA BARU: Seorang penoreh getah maut manakala seorang pelayan kedai makan di Kampung Gong Mengkeleh, Pasir Puteh cedera akibat terkena tembakan pagi Isnin.

Mangsa Amirul Tajo Nasir, 40, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian pada pukul 1.20 tengah hari Isnin ekoran kejadian 5.15 pagi itu.

Yang cedera ialah Norhadiana Zakaria, 25, dan dia dirawat di hospital yang sama.

Kedua-dua mereka sebelum itu dimasukkan ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh.

Menurut Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim, ketika kejadian Amirul Tajo sedang minum bersama dua rakannya di kedai berkenaan dan hampir selesai membayar makanan apabila mereka didatangi dua individu bermotosikal jenis Yamaha LC yang memakai topi keledar dan berjaket hitam.

"Pembonceng motosikal itu kemudiannya dilaporkan melepaskan beberapa das tembakan ke arah Amirul Tajo dari atas motosikalnya dari jarak kira-kira dua meter, sebelum mangsa rebah.

"Tembakan itu turut terkena Norhadiana pada bahagian bawah lutut kanannya," katanya kepada pemberita di sini.

Mazlan berkata kedua-dua suspek yang turut memakai penutup muka kemudiannya melarikan diri.

"Polis menemui 10 butir kelongsong peluru jenis 9mm, empat slug 9mm dan tiga slug .38 di tempat kejadian," katanya.

Kes dipercayai akibat dendam dan ia disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai diminta tampil untuk membantu siasatan.

Sementara itu seorang saudara Amirul Tajo yang enggan dikenali berkata mangsa terkena kira-kira tujuh das tembakan di beberapa bahagian badan termasuk di punggung dan dada.

Beliau berkata mangsa dipercayai tidak mempunyai musuh.

Dia meninggalkan isteri dan seorang anak perempuan yang berusia tujuh tahun.

Norhadiana yang ditemui di hospital berkata ketika itu dia sedang mengambil wang daripada Amirul Tajo sebelum melihat dua individu bermotosikal menghampiri mangsa.

"Ketika itulah pembonceng motosikal melepaskan beberapa das tembakan dan dalam keadaan kelam kabut itu, saya berlari masuk ke dalam untuk mengambil anak saya yang sedang tidur tanpa mengetahui saya juga terkena tembakan di lutut," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain