suria

Jakim Serah Laporan Kes Chetz Kepada SKMM

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menghantar laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk membenarkan tindakan selanjutnya diambil terhadap Maznah Yusof yang dikenali sebagai Chetz, berhubung klip videonya menyambut Aidilfitri bersama tiga anjing dalam YouTube.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata Jakim dan pihak berkuasa agama negeri berkenaan juga bercadang memanggil Maznah bagi mendapatkan penjelasan dan memberikan nasihat kepada beliau.

"Sekiranya tindakan diambil oleh pihak berkuasa ke atas beliau (Maznah), ia merupakan satu pengajaran yang juga satu pendidikan dan dakwah untuk beliau khususnya dan masyarakat amnya untuk tidak mengulangi perkara sama," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Othman berkata cara persembahan video berkenaan boleh dianggap menghina Islam kerana menyentuh soal ibadat dengan najis mughalazah (berat) apabila disentuh dalam keadaan basah.

"Jakim juga melihat isu tersebut sebagai tidak wajar berlaku kerana dalam suasana negara Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan mempunyai masyarkat majmuk, yang majoritinya Islam, semua masyarakat diseru untuk menghormati antara satu sama lain dari aspek agama, adat dan bangsa," katanya.

Othman berkata perbuatan itu apabila divideokan, seolah-olah cuba memperlihatkan ia sebagai cara konsep suci dalam Islam padahal ia sama sekali bertentangan. Menurutnya pandangan Islam terhadap binatang termasuk cara layanan adalah sama cuma konsep penyucian berbeza dan apa yang cuba ditunjukkan oleh Maznah adalah salah dan dilihat disengajakan, apatah lagi ia divideokan untuk tontonan umum, katanya.

"Walaupun sesetengah pihak melihat dan memprovokasi pandangan Jakim sebagai remeh dan tidak wajar, hakikatnya ia telahpun mencetuskan kegelisahan di kalangan masyarakat awam," katanya.

Chetz dipercayai memuat naik video Hari Raya bersama tiga ekor anjing di YouTube, tiga tahun lepas.

Rakaman video selama 1 minit 44 saat itu, memaparkan seorang individu membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar dekat perkarangan masjid dengan suara latar takbir raya.

Video itu turut menunjukkan individu itu yang memakai baju hitam mengambil wuduk sebelum menghidangkan kuih raya kepada anjingnya dan menyiarkan kata-kata

"Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesis, warna, asal usul (dengan menunjukkan gambar tiga ekor anjing)". -BERNAMA

Artikel Lain