suria

Polis Rampas Mercun Pelbagai Jenis Bernilai RM12,000

KUALA TERENGGANU: Orang ramai dinasihat agar tidak menjual atau membeli mercun dan bunga api pada musim perayaan ini kerana ia merupakan satu kesalahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata Ops Mercun akan diteruskan sehingga hari raya bagi memantau serta membanteras aktiviti penjualan mercun dan bunga api di negeri ini.

"Orang ramai diingatkan agar tidak membeli sebarang mercun dan bunga api kerana ia dijual tanpa permit, dan menjadi satu kesalahan mengikut undang-undang," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata setakat ini, polis Terengganu merampas mercun serta bunga api pelbagai jenis bernilai kira-kira RM12,00O di seluruh negeri sejak awal Ramadan dan semua rampasan itu dilakukan di bazar Ramadan, pasar selain rumah kediaman.

Katanya, seramai 24 orang ditahan melibatkan 21 kes.

"Sebanyak lapan kes telah didakwa di mahkamah manakala 16 lagi masih dalam siasatan untuk didakwa dalam masa terdekat. "Daripada jumlah itu, daerah Kuala Terengganu mencatat rampasan paling banyak iaitu melibatkan tujuh kes dan sembilan tangkapan, diikuti daerah Dungun dengan empat kes serta enam tangkapan," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain