suria

Polis Marin Gagalkan Cubaan Seludup 1,850 Liter Diesel

SANDAKAN: Polis Marin menggagalkan cubaan menyeludup 1,850 liter minyak diesel selepas menahan sebuah bot laju berhampiran Pulau Bai dekat sini Isnin.

Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Sabah DSP Husaini Zainal Abidin berkata dalam operasi pada kira-kira 1.30 pagi itu, juragan bot laju berkenaan berjaya memboloskan diri selepas menyedari dikejar polis marin.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas bot menjumpai 47 gelen dan dua tong drum yang berisi minyak diesel.

"Minyak itu dipercayai diperoleh dari tempat yang dilesenkan dan hendak diniagakan dengan cara yang salah, dan menjadi kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 melakukan urus niaga barang kawalan tanpa lesen yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Husaini berkata rampasan diserah kepada Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di sini untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain