suria

Kementerian Kesihatan Terus Pantau Produk Tenusu - Dr Subramaniam

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan masih memantau perkembangan kes Fonterra dan akan menarik balik produk tenusu yang ada di pasaran jika didapati turut menimbulkan keraguan dari segi keselamatan kepada pengguna.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata pemantauan akan terus dilakukan selagi perlu.

"Jika ada maklumat baharu menunjukkan stok-stok tenusu yang ada di sini berisiko telah dicemari atau dikatakan dicemari, kementerian akan mengambil langkah sepatutnya," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan Danone Dumex (Malaysia) Sdn Bhd (Danone Dumex) menarik balik keluaran terhad Dumex Dupro, Mamex Cherish, Mamex Explore dan Bebelac sebagai langkah berjaga-jaga untuk pengguna.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata Fonterra memaklumkan Danone Dumex Malaysia bahawa satu daripada ramuan yang dibekalkan kepada mereka mempunyai potensi isu kualiti.

Fonterra Malaysia pada hari sama telah mengesahkan semua jenama produknya yang dipasarkan di Malaysia tidak terjejas dengan isu pencemaran bakteria itu.

Dr Subramaniam sebelum itu melancarkan kempen Ikrar Malaysia mengenai Pengiklanan yang Bertanggungjawab terhadap Kanak-kanak, yang melibatkan beberpa syarikat pengeluar produk makanan dan minuman.

Syarikat terbabit menandatangani ikrar untuk tidak mengiklankan produk mereka kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun, melainkan produk itu memenuhi kriteria pemakanan berdasarkan bukti saintifik atau garis panduan pemakanan antarabangsa. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain