suria

Jakim & Jawi Diminta Guna Pendekatan Baru Sampaikan Khutbah Jumaat - Tengku Adnan

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diminta menggunakan pendekatan baharu yang lebih efektif dalam menyampaikan khutbah Jumaat.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata penyampaian khutbah wajar diselitkan dengan isu semasa yang berlaku di kawasan setempat untuk menyedarkan masyarakat bagi mencegah gejala yang membawa ke arah kemungkaran, selain isu global.

"Sekurang-kurangnya dua tiga minit, biarlah tok siak itu menceritakan berkenaan apa yang berlaku dalam masyarakat dari kawasan kampung masing-masing yang memberi kesedaran kepada mereka yang bersolat Jumaat.

"Selain sebarkan syiar Islam, Khutbah Jumaat juga perlu memastikan apa yang berlaku di tempat kita khususnya untuk cegah kemungkaran," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kanopi masyarakat untuk tanah perkuburan Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kepada Jawi di sini, Isnin.

Sebanyak 110 kanopi akan diagihkan kepada 22 tanah perkuburan di enam zon yang dikendalikan Jawi.

Tengku Adnan juga berkata tanah perkuburan Islam dan bukan Islam di Bukit Jalil bakal ditambah sebanyak 27 ekar (10.8 hektar) lagi. Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno berkata pemilihan kepimpinan baharu Umno di peringkat bahagian dan pusat akan dilakukan serentak bagi menjimatkan kos.

"Dahulu, kita buat berlainan hari, sekarang kita satukan jadi satu hari," katanya.

Selain itu, beliau berkata semua 191 bahagian di seluruh negara akan ditetapkan supaya mengadakan mesyuarat untuk pemilihan kepimpinan di peringkat bahagian dan pusat.

Beliau berkata mesyuarat di peringkat cawangan juga berjalan lancar setakat ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain