suria

Hanya KDN Boleh Kaji Semula Penggunaan Topi Keledar 'Visor Tinted'

KUALA LUMPUR: Hanya Kementerian Dalam Negeri yang boleh menentukan sama ada perlunya topi keledar "tinted visor" dikaji semula penggunaannya, berikutan meningkatnya kes tembakan membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal yang menggunakan topi keledar itu.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kementerian akan menyokong sebarang usaha ke arah mengurangkan jenayah.

"Jika kita lihat perkara ini secara menyeluruh, ia sebahagian daripada usaha untuk mengekang kejadian tembakan, saya percaya Kementerian Pengangkutan tiada masalah untuk menyokong sebarang langkah yang dapat membantu," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini, Isnin.

Bagaimanapun beliau berkata andaian berhubung kes-kes pembunuhan itu tidak boleh dibuat hanya berdasarkan kepada penggunaan topi keledar 'tinted visor'.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa kejadian tembakan di seluruh negara, yang antaranya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal yang memakai topi keledar "tinted visor". -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain