suria

PM Minta Rakyat Pertahan Keamanan Yang Dikecapi

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keamanan dan kemakmuran yang dikecapi di negara ini perlu dipertahankan.

Katanya rakyat perlu bersyukur kerana dapat melaksanakan urusan seharian dan beribadat tanpa gangguan.

"Ada di negara lain yang terpaksa sambut puasa dan hari raya dalam peperangan, konflik dan sebagainya...negara kita jauh lebih baik," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian zakat bagi kawasan Parlimen Pekan, di sini, Ahad.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor.

Perdana Menteri berkata keamanan dan kemakmuran yang dikecapi yang turut membolehkan umat Islam berpuasa dan berzakat dengan sempurna pada Ramadan ini juga menunjukkan negara ini diberkati Allah.

"Keberkatan memayungi negara ini, inilah rahmat yang diberikan Allah kepada rakyat Malaysia, jadi kita pertahankan keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi ini," katanya.

Najib berkata ibadat zakat juga dapat merapatkan hubungan dan kasih sayang sesama Islam apabila yang kaya membantu yang miskin.

"Zakat Allah tetapkan sebagai rukun, ada hikmahnya... antara hikmahnya melalui ibadat dan kefarduan zakat, dapat bersihkan jiwa, sifat kedekut, tamak dan terlalu cinta pada dunia, sifat terpuji, jadi pemurah dan kasih pada umat Islam lain," katanya.

Pada majlis itu sebanyak RM1.5 juta wang zakat badan-badan korporat antaranya Bank Rakyat dan Tabung Haji, diagihkan kepada 5,904 asnaf di Pekan.

Sementara itu seorang penerima, Mariah Mat Nor, 84, berkata dia sangat bersyukur dengan sumbangan tersebut.

Berasal dari Tanjung Medang di sini, Mariah berkata wang zakat berjumlah RM250 itu akan digunakannya untuk perbelanjaan Aidilfitri nanti.

"Ini tahun ketiga mak cik dapat sumbangan zakat sempena hari raya ini. Terima kasih tidak terhingga kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Harap tahun depan dapat lagi sumbangan zakat ini," katanya.

Bagi Suwaidah Mamat, 63, yang memiliki anak kurang upaya, Mohd Saiful Hafizi Ismail, 19, berkata, duit itu akan digunakan untuk membeli baju dan kasut raya untuk anaknya.

"Sumbangan zakat ini sangat bermakna buat kami," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain