suria

Perbendaharaan Beri Lebih Tumpuan Kepada Perancangan Dasar Strategik - Ahmad Husni

IPOH: Perbendaharaan, yang terletak di bawah Kementerian Kewangan akan memberi tumpuan yang lebih kepada perancangan dasar strategik kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata agensi itu, yang akan menjalani transformasi akan mengambil peranan sebagai penasihat profesional kepada Kerajaan dan memberi tumpuan kepada menjalankan pelbagai strategi fiskal.

"Ia tidak lagi hanya menjadi pusat agensi kewangan yang sebahagian besarnya memberi tumpuan kepada hanya operasi dan pentadbiran sahaja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran awal sebuah jambatan baru di Jalan Menteri, Kampung Manjoi di sini, Ahad.

Ahmad Husni berkata, walaupun Perbendaharaan pada masa lalu telah didorong untuk mencapai keputusan serta-merta, ia juga akan mula menyasarkan objektif jangka panjang.

"Sebagai contoh, kita perlu mengambil kira kedudukan kewangan negara dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang sebelum membuat keputusan mengenai peruntukan untuk kementerian.

"Kami juga ingin mengambil pendekatan belanjawan berasaskan hasil untuk memastikan peruntukan yang diterima oleh setiap kementerian mencerminkan prestasi keseluruhan mereka menjelang akhir tahun fiskal.

"Ini bagi membuka jalan kepada Malaysia untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya, sambil menambah kemungkinan untuk melaksanakan pendekatan belanjawan kini sedang dikaji.

Ahmad Husni berkata pejabat dasar fiskal akan menjalankan penyelidikan mengenai pelbagai syarat yang akan membolehkan negara mencapai matlamat jangka panjang dalam tempoh 30 tahun akan datang.

"Sebuah makmal juga akan ditubuhkan untuk meramal hasil negara yang akan dikumpul dalam beberapa tahun akan datang dan merancang perbelanjaan negara secara berhati-hati.

"Institusi-institusi seperti Bank Negara Malaysia dan Unit Perancang Ekonomi juga akan terlibat untuk membincangkan perkara itu," katanya.

Artikel Lain