suria

Pemuda Palestin Kembali Ke Gaza Selepas Terkandas 31 Hari Di KLIA

Mohammed Abdulabbad
Mohammed Abdulabbad
Mohammed Abdulabbad

PETALING JAYA: Selepas "menetap" di terminal transit KLIA selama 31 hari, Mohammed Abdulabbad dari Palestin yang terkandas di situ, akhirnya terbang ke negaranya selepas mendapat visa ke Mesir.

Dia berlepas ke Kaherah menerusi penerbangan Egypt Air pada malam Jumaat untuk kembali ke kampung halamannya di Gaza, melalui sempadan Rafah.

"Saya tidak akan meninggalkan kediaman saya lagi kerana seluruh pengalaman yang dilalui adalah pahit, menyakitkan, menyedihkan dan menakutkan. Saya meninggalkan Gaza kerana keadaan pergolakan di sana dan memikirkan saya boleh memulakan hidup baru di Malaysia atau Indonesia, tetapi tanggapan saya salah mengenai kedua-dua negara," katanya.

Sepanjang 'penginapan' di terminal, Mohammed mandi di dalam tandas lapangan terbang selain makan sehari sekali dan tidur di sofa di ruang transit.

Mohammed, yang sebelum ini pernah bekerja di sebuah restoran di Langkawi, berkata dia gembira dapat kembali ke pangkuan keluarganya untuk Hari Raya dan sangat merindukan ibunya.

"Saya tidak akan kembali ke sini sekali lagi kerana saya telah mengalami banyak penderitaan. Jika tidak kerana kekuatan saya kepada Allah dan solat harian saya, saya mungkin tidak akan selamat.

"Saya akan sentiasa mengingati orang-orang di Malaysia kerana beberapa orang yang tidak dikenali telah membantu saya dengan makanan dan penjagaan," kata Mohammed, yang tidak dibenarkan masuk ke Malaysia selama tiga tahun kerana pernah tinggal melebihi tempoh.

Dia telah terkandas di KLIA selepas pulang dari Jakarta pada 1 Julai kerana tinggal melebihi tempoh di sana selama tujuh bulan.

Ketika dalam perjalanan ke Kaherah, dia telah ditempatkan di dewan pelepasan KLIA oleh kakitangan Malaysia Airlines kerana tidak mempunyai visa untuk perjalanan ke Mesir.

Selepas nasibnya dibangkitkan dalam The Star pada 18 Julai, Malaysia Airports Holdings Bhd meminta bantuan kedutaan Palestin di Kuala Lumpur.

Mohammed berkata kelewatan dalam mendapatkan visa disebabkan Mesir telah menutup sempadan Rafah berikutan pergolakan di sana, sambil menambah ia telah dibuka semula minggu ini.

"Saya telah kehilangan 15kg dan tidak mempunyai tidur dan pemakanan yang baik selama lebih 30 hari, yang saya harap dapat saya nikmatinya apabila saya tiba di rumah," katanya.

Artikel Lain