suria

Dua Maut Dalam Kemalangan Di Sri Aman

KUCHING: Dua terbunuh dalam nahas membabitkan dua buah kereta di Km 57 Jalan Sri Aman-Sarikei dekat Pais, Skrang, di sini awal pagi Sabtu.

Menurut sumber polis dalam kejadian 6.40 pagi itu, lelaki dan wanita yang terbunuh terbabit menaiki kereta jenis Proton Iswara bersama dua lagi.

Kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva, kata sumber dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Aman itu.

Bernama difahamkan semua mangsa belum dikenal pasti termasuk pemandu Perodua Viva yang dilapor tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ini adalah kemalangan maut kedua di jalan itu dalam tempoh tiga hari.

Khamis lepas empat pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terbunuh selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah lori balak.

Kemalangan itu turut menyebabkan dua lagi pegawai Jakim cedera parah. - BERNAMA

Artikel Lain