suria

Publisiti Perlu Dalam Menyampaikan Bahaya Fahaman Syiah - Mukhriz

ALOR SETAR: Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata sudah tiba masanya isu fahaman Syiah diberi publisiti secara terbuka agar orang ramai dapat memahami bahaya fahaman itu kepada umat Islam.

Beliau mengakui kerajaan negeri memberi publisiti meluas untuk menyampaikan maklumat bahawa ajaran Syiah boleh menggugat umat Islam yang rata-ratanya ialah Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

"Publisiti fahaman Syiah memang wajar. Jika tiada publisiti kita takut akan berlaku kekeliruan dalam kalangan orang ramai pula. "Orang belum faham sepenuhnya ajaran Syiah ini. Dengan adanya publisiti ini barulah penjelasan lebih mendalam dapat disampaikan," katanya kepada pemberita semasa ditemui selepas meninjau kompleks perniagaan Pekan Rabu di sini, Sabtu.

Mukhriz mengulas dakwaan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang menyifatkan cara kerajaan Kedah menangani isu Syiah kebelakangan ini seolah-olah memberi publisiti percuma kepada ajaran itu.

Mukhriz berkata selepas Kedah mewartakan fatwa anti-Syiah pada 18 Julai, banyak pihak mengambil pendekatan untuk memberi pendedahan yang lebih jelas mengenai fahaman Syiah termasuk melalui media massa. "Dengan pendedahan ini, diharapkan orang ramai lebih sedar bahaya fahaman Syiah dan mengambil pendekatan untuk menghalang penyebarannya.

"Penyebaran ajaran Syiah di Kedah sudah lama berlaku. Dalam masa lima tahun lepas tidak ada usaha langsung untuk menyekat penyebarannya," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain