suria

PM Sampaikan Pingat Kedaulatan Negara Kepada Pengamal Media

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) kepada 227 pengamal media yang terlibat dalam membuat liputan mengenai insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah, awal tahun ini.

Majlis penganugerahan itu diadakan sempena majlis berbuka puasa anjuran Jabatan Penerangan dan Jabatan Perdana Menteri di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di sini.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Abdul Rahman Sulaiman; Pengurus Besar Bernama, Datuk Yong Soo Heong; Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang beberapa organisasi media yang lain.

Sebanyak 17 petugas media dari Bernama menerima pingat tersebut.

Lebih 1,000 pengamal media hadir pada majlis itu.

Najib dalam ucapannya sebelum berbuka puasa berkata kerajaan mengambil keputusan asas untuk menyampaikan pingat itu kepada pengamal media kerana apabila mereka dihantar membuat liputan berita di Felda Residence, Lahad Datu dan Semporna, mereka terdedah kepada risiko yang tinggi.

"Faktor penting ialah saluran maklumat yang tepat dan sahih oleh media kepada rakyat kerana seperti apa yang berlaku di Perang Vietnam ialah walaupun Amerika Syarikat mempunyai teknologi baharu tetapi akibat tidak mendapat sokongan rakyat akhirnya mereka kalah dalam perang tersebut.

"Berbeza di Malaysia, negara berjaya menumpaskan ancaman komunis dan berjaya memenangi hati dan minda rakyat sehingga kerajaan mendapat sokongan kuat dari rakyat," katanya.

Perdana Menteri berkata rakyat Malaysia perlu bersatu dalam menghadapi sebarang ancaman dari dalam dan luar negara dan beliau melihat semangat patriotisme rakyat Malaysia sangat tinggi seperti ditunjukkan pada sambutan Hari Pahlawan di ibu negara Rabu lepas.

Katanya laporan berita menerusi media cetak, elektronik dan media sosial telah berjaya menyatukan rakyat Malaysia dan membangkitkan semangat nasionalisme dan buktinya ialah apabila ramai rakyat Malaysia menyumbang dalam Tabung Lahad Datu sehingga mendapat jumlah kutipan yang tinggi.

Pengamal media tempatan yang menerima pingat itu adalah mereka yang berdaftar di pusat media dikendalikan Jabatan Penerangan di Felda Residence Sahabat, Lahad Datu, pada 15 Februari hingga 15 April lepas.

Pusat media itu diwujudkan bertujuan memudahkan petugas media membuat liputan berita, menganalisis laporan media tempatan dan antarabangsa, menangkis laporan negatif media asing dan menggunakan pendekatan media yang berkesan menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

Pemberian pingat berkenaan adalah sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan bakti semua pihak termasuk pengamal media yang membantu menyampaikan maklumat yang telus dan tepat sepanjang Operasi Daulat (Op Daulat) di Lahad Datu, Sabah.

Liputan oleh pihak media telah banyak membantu menyampaikan maklumat terkini kepda orang ramai dalam menangani kejadian pencerobohan itu yang telah menggugat keselamatan dan keamanan negara.

Pada 5 Mac lepas, pasukan keselamatan terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia melancarkan Op Daulat membanteras penceroboh berkenaan melalui strategi Lautan Biru setelah rundingan tiga minggu gagal.

Kejayaan gerakan ofensif itu menyaksikan 68 pengganas ditembak mati dan 173 orang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan 443 lagi atas pelbagai kesalahan lain.

Namun, lapan anggota polis dan dua anggota tentera terkorban dalam insiden itu. BERNAMA

Artikel Lain