suria

Pihak Agungkan Komunis Tidak Sensitif Kepada Pejuang Negara - Nazri

KUALA KANGSAR: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bersetuju supaya filem 'The New Village' tidak ditayangkan semasa sekali termasuk di laman sosial, blog dan YouTube jika ia mengagung-agungkan komunis.

Beliau berkata pihak yang mengagung-agungkan komunis adalah mereka yang tidak sensitif kepada perjuangan serta pengorbanan pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

"Kita perlu ingat sejarah, komunis mengisytiharkan peperangan sehinggalah negara kita merdeka dan mengakibatkan darurat, selepas 1960-an juga masih ada lagi pertempuran, ramai tentera dan polis terkorban," katanya kepada pemberita selepas program sumbangan Ihsan Ramadan dan Aidilfitri Parlimen Padang Rengas di sini Sabtu.

Kecacatan dan kematian anggota pasukan keselamatan tidak boleh dikembalikan, oleh yang demikian pihak yang mengagungkan komunis tanpa mengambil kira pergorbanan yang dibuat pasukan itu adalah tidak sensitif, katanya.

"Komunis ini tidak bertuhan, jadi apa yang dilakukan mereka tidak konsisten dengan Rukun Negara. Sekiranya betul walaupun ada sedikit kemiripan untuk mengagungkan komunis, kita jangan beri tempat (filem ini)...bagi saya tiada kompromi," katanya.

Filem itu mengundang kontroversi umum di Internet apabila didakwa cuba mengagung-agungkan komunis secara tersirat sehingga beberapa badan bukan kerajaan dan politik menuntut filem itu ditarik balik atau diharamkan.

Pada 28 Julai lepas, Menteri Dalam Negeri Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tayangan filem itu yang dijadualkan pada 22 Ogos ditangguhkan bagi membolehkan Lembaga Penapis Filem (LPF) meneliti semula kandungannya termasuk keperluan menapis semula daripada segi plot cerita dan mesejnya.

Mengenai tindakan Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee yang memuat naik rakaman bantahan terhadap penangguhan penayangan filem tersebut, Mohamed Nazri berkata anak muda itu boleh memberi pandangannya namun jika didapati melakukan kesalahan, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadapnya. -BERNAMA

Artikel Lain