suria

Operasi Mencari Mangsa Bot Karam Gagal Temui Sebarang Mangsa

JOHOR BAHARU: Operasi mencari dan menyelamat 40 lagi warga Indonesia yang hilang dalam kejadian bot karam kira-kira 12.7 batu nautika dari Tanjung Siang, Sedili Besar, Kota Tinggi pada Khamis lalu dihentikan sementara petang ini tanpa sebarang penemuan mangsa baru.

Pegawai Perhubungan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan, Mohd Sahrunizam Mohamed Husin berkata operasi yang disertai kira-kira 100 anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan dan keselamatan itu dihentikan kira-kira pukul 7.30 malam tadi berikutan keadaan laut semakin gelap dan agak bergelora.

"Sehingga pukul 7.30 malam, tiada sebarang mangsa terselamat atau mayat ditemui.

Sehubungan itu kita akan meneruskan kembali operasi pada esok seawal pukul 7 pagi," katanya ketika dihubungi di sini, Sabtu.

Dalam operasi mencari menyelamat yang dijalankan hari ini, sebanyak dua buah kapal, empat buah bot laju dan dua unit udara melibatkan APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) digunakan untuk mengesan mangsa.

Dalam tragedi kira-kira 10 malam itu, sebuah bot pancung yang membawa kira-kira 44 warga Indonesia dari satu lokasi dari daerah ini ke Batam, Indonesia untuk pulang menyambut Aidilfitri karam setelah dipukul ombak besar dalam keadaan ribut.

Bagaimanapun empat daripada mereka berjaya diselamatkan petang semalam oleh sekumpulan nelayan dan APMM manakala 40 lagi masih hilang. -BERNAMA

Artikel Lain