suria

Operasi Cari Mangsa Bot Karam Diteruskan

KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat mangsa bot pancung yang karam berhampiran Tanjung Siang, Kota Tinggi, Johor, Khamis lepas diteruskan pada Sabtu.

Operasi yang disertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, polis, tentera udara dan laut itu bermula 7 pagi Sabtu, kata Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Tanjung Sedili Komander Maritim Amran Daud ketika dihubungi Bernama, di sini.

Katanya operasi akan berlangsung sehingga 7 petang dan akan disambung semula pagi Ahad jika semua mangsa belum dijumpai. Menurut Amran setakat ini hanya empat penumpang berjaya diselamatkan manakala 40 lagi masih hilang.

Dalam kejadian lewat malam itu, sebuah bot pancung yang dipercayai membawa 44 pendatang tanpa izin warga Indonesia pulang untuk menyambut Aidilfitri di Batam, karam di antara perairan Sedili dan Penawar setelah dipukul ombak besar.

Mereka sebelum itu dipercayai berlepas dari Tanjung Siang. - BERNAMA

Artikel Lain