suria

Laporan Rel Berkelajuan Tinggi Dimuktamadkan: Malaysia, Singapura Bermesyuarat Selepas Raya

SINGAPURA: Malaysia telah memuktamadkan laporan penuhnya tentang rel berkelajuan tinggi yang dicadangkan antara Kuala Lumpur Singapura.

Televisyen tempatan Channel NewsAsia melaporkan ketua pegawai eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal, sebagai berkata kedua-dua belah pihak itu akan bertemu selepas perayaan Aidil Fitri pada akhir bulan ini.

Bercakap secara eksklusif kepada Channel NewsAsia, Nur Ismal berkata butiran projek itu, termasuk modal dan pembiayaan, akan diumumkan selepas perbincangan dengan pegawai Singapura.

Dianggarkan berkos US$10 bilion, rel berkelajuan tinggi itu dijangka siap menjelang 2020.

Dijangka mengurangkan waktu perjalanan antara kedua-dua bandar raya kepada 90 minit, projek ini telah menarik minat pelbagai syarikat antarabangsa, termasuk dari China, Jepun, Perancis dan Sepanyol.

Nur Ismail berkata industri akan menjangka bidaan kompetitif sebaik sahaja tender mula dibuka tahun depan.

"Terdapat ruang yang cukup untuk semua. Perkara utama ialah kedua-dua negara akan mendapat manfaat, konglomerat akan mendapat manfaat pembangunan utama sepanjang jajaran itu.

Kami teruja tentang pembangunan ekonominya, aspek sosialnya, pertumbuhan makroekonomi yang akan terjadi dengan meluas hanya kerana adanya rel itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain