suria

Fahaman Syiah Perlu Diperjelas Kepada Rakyat - Jamil Khir

YAN: Fahaman Syiah perlu diperjelaskan berterusan kepada rakyat bagi memastikan mereka tidak terpengaruh dengan fahaman itu, bukannya untuk memberi publisiti kepada fahaman itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata orang ramai akan mudah terdedah kepada fahaman tersebut yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang diamalkan di negara ini jika dibiarkan tanpa diberi penjelasan.

"Orang mudah terpengaruh dengan fahaman Syiah tanpa disedari apabila dihidangkan dengan perkara menyeronokkan seperti kahwin mut'ah dan tidak perlu solat lima waktu.

"Kalau tidak diperjelaskan, golongan yang tidak faham hal-hal agama mudah terpesong yang akan menyebabkan akidah sukar diperbetulkan apabila sudah terpahat dalam hati," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan elaun sara hidup kepada kira-kira 400 nelayan Yan di sini, Sabtu.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang menyalahkan kerajaan negeri, pihak berkuasa agama dan media yang didakwanya memberi publisiti kepada perkembangan Syiah di negara ini.

"Kenyataan Mahfuz adalah persepsi dia kerana kerajaan negeri dan persekutuan serta pihak berkuasa agama bersungguh-sungguh berusaha mengekang fahaman Syiah dari menular dalam negara," tambahnya.

Menurut Jamil Khir kerajaan tidak lagi berkompromi dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebar atau mengamalkan ajaran Syiah termasuk ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Syiah, difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada muzakarah khas pada 1996. - BERNAMA

Artikel Lain